Lori treler bawa tujuh kereta terbabas dan terjunam 50 meter

RANAU: Seorang pemandu terselamat selepas lori treler membawa tujuh kenderaan terbabas sendiri dan terjunam dari ketinggian 50 kaki di Kampung Nobutan Jalan Ranau – Sandakan di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.46 pagi.
“Enam anggota BBP Ranau segera ke lokasi sejauh 30 kilometer dan semasa ketibaan pasukan bomba, sebuah treler membawa tujuh kenderaan terbabas sendiri dan terjunam dari ketinggian 50 kaki.
“Kemalangan turut menyebabkan kerosakan sebuah rumah akibat dihempap pokok,” katanya.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi operasi ditamatkan jam 12.50 tengah hari.

TERBABAS …. Keadaan treler membawa tujuh kenderaan terbabas dan terjunam dari ketinggian 50 kaki di Kampung Nobutan Jalan Ranau – Sandakan di sini.