STB bincang dengan AirAsia, MAH Sabah/Labuan bagi perkukuhkan pelancongan

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengadakan pertemuan bersama AirAsia dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah/Labuan bagi meneroka kerjasama dalam memperkukuhkan ekosistem pelancongan Sabah.
Perbincangan yang dihadiri oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, ini bertujuan mengeratkan kerjasama antara sektor penerbangan dan perhotelan untuk menyokong sasaran pelancongan Sabah tahun ini.
Antara perkara yang dibincangkan adalah bagaimana sektor perhotelan boleh memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha mempertingkatkan sambungan penerbangan melalui inisiatif bersama yang dapat menarik lebih ramai pelancong.
“Adalah penting bagi semua pihak berkepentingan, termasuk sektor perhotelan, untuk bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran yang mesra pelancong.
“Kerjasama yang efektif akan memastikan pelancong terus memilih Sabah sebagai destinasi pilihan mereka,” kata Joniston.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah wakil daripada Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, dan Persatuan Pelancong Sabah.
Joniston berkata bahawa STB akan mengadakan sesi dialog yang lebih menyeluruh melibatkan pengusaha hotel, penyedia pengangkutan, dan agensi kerajaan berkaitan.
“Mengumpulkan semua pihak membolehkan perbincangan yang lebih inklusif dan kerjasama bagi mencari penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada semua,” katanya sambil menambah bahawa STB akan memudahkan perbincangan ini.

BINCANG …. Joniston (kiri) semasa mengadakan pertemuan bersama wakil AirAsia dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah/Labuan bagi meneroka kerjasama dalam memperkukuhkan ekosistem pelancongan Sabah.