LABUAN: Juara bertahan merentas desa iaitu Rumah Topaz terus menguasai Kejohanan Merentas Desa Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) 2025.
Kejohanan yang diadakan di Padang Majal, Kampung Pohon Batu itu menyaksikan Rumah Topaz muncul johan keseluruhan selepas mengumpul 231 mata.
Rumah Topaz muncul Pasukan Perempuan Terbaik manakala Pasukan Lelaki Terbaik dimenangi Rumah Citrine.
Naib johan Rumah Citrine (204 mata), ketiga Rumah Emerald (186 mata) dan keempat Rumah Ruby (152 mata).
Ketua Rumah Sukan Topaz, Ustazah Artidah Ating amat gembira kerana berjaya mengekalkan kejuaraan untuk tahun 2025.
Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada guru-guru penasihat kerana berjaya membimbing atlet sehingga membawa kepada kejayaan manis itu sekali lagi pada tahun ini.
Sementara itu, atlet Rumah Emerald, Mohammad Aryan Shaquille Mohd Yusuf muncul johan Kategori L12.
Bagi Kategori P12, juara menjadi milik Qaseh Sofea Izzara Shuhaimi juga atlet Rumah Emerald.
Dua atlet Rumah Topaz, Muhammad Raziq Paizan dan Saadah Md Saleh masing-masing menjuarai Kategori L11 dan P11.
Awangku Dzul Hamizie Awangku Mustakim dari Rumah Emerald memenangi Kategori L10 manakala Kategori P10 disandang oleh Nurirdina Husna Salleh Rahman mewakili Rumah Ruby.
Kejohanan itu dirasmikan oleh Pegawai Angkat Abdul Rizal Abdul Rahim yang juga Penolong Pengarah, Unit TVET, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Pertandingan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) akan diadakan pada 12 April 2025.
Seramai 8 orang murid SKLT akan berentap dalam kejohanan MSSWPL nanti.







