Polis tahan dua remaja disyaki curi wayar elektrik

TAWAU: Polis menahan dua remaja selepas disyaki mencuri wayar elektrik di kawasan tepi Jalan Taman Home Luck, Jalan Kuhara, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua remaja berusia 12 dan 17 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau, kira-kira jam 4 petang.

Menurut beliau, sebelum itu pihaknya mengesan dua remaja terbabit membawa karung guni dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit adalah warga asing dan tidak mempunyai sabarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut, kedua-dua suspek juga gagal memberikan keterangan sejumlah wayar elektrik berkenaan dan disyaki barang berkenaan adalah hasil curi.

DITAHAN …. Kedua-dua remaja terbabit ditahan bersama wayar elektrik disyaki hasil curi.

“Kedua-dua suspek terbabit telah ditahan bersama barang rampasan dan di bawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,”katanya dalam kenyataan media, di sini pada Rabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kes masih dalam siasatan dan pihak polis sedang mengenal pasti sumber barang ini diperolehi,” katanya.

Sehubungan itu, Jasmin menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan kecurian infrastruktur awam bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik premis serta risiko keselamatan di tempat itu.

“Polis akan terus komited membanteras jenayah dan dadah dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” katanya.