Media pemacu perubahan, pembangunan 25 tahun KK– Mayor

KOTA KINABALU: Media bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi juga pemacu utama perubahan dan pembangunan Kota Kinabalu sejak 25 tahun lalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Dr. Sabin Sabitah berkata dalam tempoh dua dekad, media telah berperanan sebagai rakan strategik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan telus kepada masyarakat.

KENANGAN … Sabin bergambar kenangan dengan ketua-ketua editor media Sabah.

“Kerjasama erat ini membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak secara lebih proaktif dan efektif dalam menangani isu-isu yang melibatkan warga Bandaraya KK.

“Oleh itu, pandangan, cadangan dan kritikan yang disampaikan oleh media menjadi rujukan penting bagi DBKK dalam menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

“Usaha yang tidak pernah kenal lelah ini membantu DBKK menjadi lebih peka terhadap kehendak warga bandaraya serta lebih berkesan dalam merangka dasar dan melaksanakan program yang bermanfaat,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media 2025, pada Rabu.

AMANAT … Sabin ketika berucap.

Beliau menambah, landskap penyampaian maklumat kini semakin dinamik dengan kepelbagaian platform media, akhbar dan majalah kepada radio, televisyen serta media sosial yang berkembang pesat sebagai saluran berita utama.

“Media cetak seperti akhbar dan majalah terus berperanan sebagai wadah dokumentasi perkembangan masyarakat, manakala media elektronik seperti radio dan televisyen membolehkan penyampaian maklumat secara langsung dan pantas.

“Selain itu, media sosial pula kini menjadi medium yang semakin relevan dalam menyebarkan berita terkini, maklumat kecemasan, serta pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat.

SUMBANGAN … Sabin (dua kiri) menyampaikan sumbangan kuih muih kepada Muguntan.

“Membawakan pelbagai perspektif, media membantu memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap sesuatu isu, sekali gus menggalakkan dialog yang membina antara pihak berkuasa tempatan, pihak berkepentingan dan masyarakat umum,” tambahnya.

Hadir sama, Presiden Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Jimmy Goh.

-Penerangan.