Tadzmahal raikan 52 anak yatim dari Kota Belud

KOTA BELUD: Seramai 52 anak-anak dari golongan asnaf dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim  Nur Taqwa dan Darul Bakti Kota Belud diraikan dalam Majlis Iftar dan Sumbangan Baju Raya dalam satu program yang dianjurkan oleh Tadzmahal Travels and Tours Sdn Bhd di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Penerima  sumbangan dibawa ke ibu negeri untuk membeli baju dan pakaian raya di Emadira sebelum dijamu dalam  majlis iftar di Raia Hotel Kota Kinabalu.

Pengurus Tadzmahal, Dato Mohd Nasser Migin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana program itu dapat dijayakan sesuai dengan objektifnya iaitu untuk berkongsi kasih sayang, kegembiraan, dan rezeki dan berbuka puasa dengan anak-anak yatim.

DUIT RAYA … Mohd Nasser (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis itu yang juga membuktikan bahawa golongan asnaf tidak pernah diketepikan dan sentiasa diberikan perhatian.

“Kami di sini sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kalian dalam kehidupan. Teruskan berusaha dan jangan berputus asa dalam mencapai impian. Ingatlah bahawa setiap ujian yang Allah berikan pasti ada hikmah yang tersembunyi, “kata Mohd Nasser.

“Semoga majlis kita pada hari ini diberkati dan segala amal kebajikan kita diterima oleh Allah SWT, katanya sambil berharap agar semua kaum muslimin terus diberikan kekuatan untuk menjalani ibadah di bulan Ramadan ini dengan penuh keikhlasan.