- Oleh FARDY BUNGGA
BELURAN: Seorang ibu dan bayinya yang berusia enam bulan maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Telupid, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan bersama ahli keluarga lain sedang dalam perjalanan dari Labuan untuk balik berhari raya di daerah Semporna.
Manakala lima lagi ahli keluarga lain yang turut menaiki kereta Proton Saga FLX itu dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.28 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai terut dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 100 kilometer dari BBP Beluran untuk membantu.
“Terdapat tujuh mangsa yang terlibat iaitu empat dewasa, dua kanak-kanak dan seorang lagi bayi.
“Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, seorang lagi mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan segera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Dua daripadanya disahkan meninggal dunia termasuk bayi manakala lima lagi mangsa cedera ringan. Maklumat semua mangsa tidak diperoleh.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.30 pagi,” katanya.





