KOTA MARUDU: Kerajaan melalui Kementerian Belia & Sukan Sabah menerusi Program Jaringan Kerjasama Sukarelawan Belia meneruskan jelajah untuk menyantuni golongan belia sepanjang Ramadan.
Kali ini, Program Jaringan siri terakhir itu diadakan dengan kerjasama Sukarelawan Belia Daerah Kota Marudu adalah siri jelajah terakhir bertujuan untuk menyantuni golongan belia di negeri ini.

Program itu bukan saja bertujuan untuk menyantuni golongan belia melalui majlis berbuka puasa tetapi lebih dari itu dapat membantu peniaga peniaga bazaar Ramadan dengan membeli jualan mereka dan dijadikan juadah berbuka puasa.
“Program di Kota Marudu ini merupakan program dan jelajah terakhir kita untuk bulan Ramadan bersama golongan belia.
“Di samping kita mengeratkan hubungan dengan mereka kita juga dalam masa yang sama membantu peniaga-peniaga bazaar Ramadan,” kata Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan.
“Di pihak Kerajaan Negeri khususnya KBS Sabah kita komited untuk menjalankan apa jua program yang memberikan impak positif terhadap pembangunan belia akar umbi,” tambahnya.

MERIAH TAPI SANTAI … Beginilah konsep yang diterapkan dalam program ini. Kelihatan Fairuz dan Maijol bersama hadirin menanti waktu berbuka puasa.
Sementara itu Ahli Dewan Belia Sabah N6 Bandau Ustaz Farid Liman menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak KBS kerana memilih Kota Marudu sebagai destinasi terakhir untuk program ini dan mengharapkan agar program santai seumpama ini dapat diteruskan bagi mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan golongan belia.
Program itu berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta dari pelbagai kaum dan turut diagihkan sumbangan berbentuk bantuan kewangan kepada pihak Maahad Tahfiz Al-Iman Kota Marudu dan Pejabat Paroki Gereja Katolik St. Theresa, Kota Marudu.
Manakala pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu mendapat sumbangan berbentuk alatan sukan.
Hadir bersama wakil-wakil daripada pihak agensi kerajaan dan Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd. Datuk Maijol Mahap .
Program ini diselaraskan oleh Pegawai KBS daerah Kota Marudu , Mohd Suffiey Rosman dengan kerjasama Kelab Belia Dinamik Kampung Salaping.






