Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok dipercayai membunuh diri di kawasan bukit berhampiran Kampung Kibagu, di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 20 tahun itu ditemui kira-kira jam 1 petang dalam keadaan tergantung dengan tali di kawasan lereng bukit kampung berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu di lokasi pada jam 1.23 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati benar terdapat seorang lelaki tergantung di dahan sebatang pokok.
“Pasukan operasi terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk menurunkan mangsa menggunakan tali penyelamat dengan kaedah sistem takal,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.55 petang,” katanya.

pihak polis untuk tindakan lanjut.





