- Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas pelbagai barangan seludup termasuk dadah jenis syabu seberat 40.787 kilogram bernilai RM1.3 juta.
Dalam operasi bermula 6 Mac lalu melibatkan lima serbuan itu, pasukan operasi turut berjaya merampas dadah jenis ketum, mercun dan bunga api, rokok dan kenderaan yang bernilai keseluruhan RM3.34 juta.

Operasi selama 13 hari itu dilaksanakan di beberapa daerah iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, kejayaan ini hasil maklumat yang disalurkan pihak awam selain komitmen berterusan pihak JKDM Zon Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
Katanya, kes pertama membabitkan rampasan dadah jenis Methamphetamine di daerah Semporna dalam serbuan 11 Mac lalu.
“Pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Semporna menyerbu Terminal Bas Semporna – Kota Kinabalu sebelum menemukan dua kotak mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kotak terbabit berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 40.787 kilogram (kg) dengan nilai RM1,305,184,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, kelmarin.
Saidin berkata, penyeludup dikesan menggunakan modus operandi dengan menyeludup dadah menggunakan terminal bas sebagai taktik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dadah berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Saidin berkata, rampasan kedua membabitkan sembilan kotak berisi 125 kilogram serbuk hijau jenis ketum yang dirampas Terminal Bas Tawau.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan bas persendirian bagi menyembunyikan bahan terlarang itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Kes ketiga adalah rampasan bunga api dan mercun masing-masing 18 Mac lalu membabitkan mercun bernilai RM1.8 juta termasuk duti di Sandakan dan Lahad Datu.
“Semua barangan itu tidak memiliki permit import yang sah dan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967,” katanya.
Saidin berkata, kes keempat melibatkan sitaan rokok tak bercukai dalam dua kenderaan berasingan pada 10 dan 12 Mac yang dianggarkan bernilai lebih RM24,000.
“Manakala kes rampasan terakhir direkodkan pada 13 Mac lalu melibatkan sebuah kereta jenis sedan bernilai RM15,000 dengan duti terbabit RM12,875 disita kerana melanggar tempoh kebenaran berada di tanah besar.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sehubungan itu, Saidin berkata pihaknya berharap supaya orang awam terus bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.





