KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dirayu agar melaksanakan segera pengukuran tanah adat di Kg Abingkoi Sook Keningau, Kg Pengelubon dan Kg. Ahuron Kemabong Tenom di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Presiden Persatuan Penduduk Kampung Abingkoi, Pengulubon dan Ahuron Tenom (PAKAT), Rainus Sagulau, berkata penduduk tiga kampung berkenaan masih menunggu penyelesaian terhadap permohonan tanah adat mereka sejak bertahun-tahun lalu.
Walaupun pentadbiran silih berganti tetapi isu pengukuran tanah adat mereka masih menemui jalan buntu dan belum menemui jalan penyelesaian.
Oleh sebab itu, kami merayu Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk membantu memprcepatkan pengukuran tanah adat di bawah program Pantas.
“Kami yakin Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Slogan Sabah Maju Jaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Menurut Rainus, permohonan dan tuntutan tanah adat itu sudah dikemukakan sejak zaman Kerajaan BN dan penduduk terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang banyak untuk berulang alik dari Kg Abingkoi, Kg Pengulobon dan Kg Ahuron untuk menguruskan permohonan tanah adat berkenaan.
Beliau menegaskan permohonan penduduk kampung itu wajar diberikan pertimbangan memandangkan mereka adalah penduduk asal yang tidak berpindah randah, memiliki tanaman buah-buahan sejak turun temurun selain tanah perkuburan yang menunjukkan mereka sudah lama mendiami perkampungan seperti Kg Abingkoi Sook Keningau dan Kg Pengulobon, Kg Ahuron Kemabong Tenom.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap segelintir pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu tanah adat untuk mengelirukan pihak kerajaan dan penduduk yang benar benar memerlukan tanah.
Katanya, ada pihak yang cuba menunggang isu tanah adat walaupun mereka kurang arif mengenainya malahan mereka tidak memahami adat resam penduduk setempat.
Pihak Pakat mencadangkan pihak kerajaan terutama Jabatan Tanah dan Ukur perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan pengukuran tanah adat itu dapat diselesaikan segera sebelum pilihanraya negeri akan datang
Sehubungan itu, JK Pakat juga membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengan Pengarah Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Bernard Liew di pejabatnya baru-baru ini.
Rombongan jawatankuasa Pakat diketuai Presiden, Rainus Sagulau, disertai Timbalan Presiden Rasam Asan, Bendhari Alisnah Jupilin, Timbalan Bendahari, Murna Rasam dan Pakar Wlilayah Tanah Adat, Liman Antagar.







