Ahli Majlis Daerah Pitas punyai peranan penting

PITAS: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata ahli majlis daerah mempunyai peranan yang amat penting dalam memastikan Pitas menjadi sebuah daerah yang lebih bersih, lebih hijau, selamat dan lebih sihat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Upacara Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Pitas bagi Penggal 2025/2027 di Dewan Majlis Daerah Pitas dekat sini.
Pelantikan ini adalah salah satu amanah besar yang perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan ahli majlis perlu peka terhadap keperluan dan kepentingan masyarakat serta bertanggungjawab dalam menyumbangkan idea dan kepakaran demi memajukan dan meningkatkan mutu perkhidmatan Majlis Daerah Pitas.
Katanya, majlis yang kita diadakan itu bukan sahaja menjadi satu platform mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh setiap Ahli Majlis Daerah Pitas tetapi juga sebagai satu pengiktirafan kepada komitmen dan dedikasi mereka dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat dan memperkasakan pembangunan daerah Pitas.
Menurutnya, Majlis Daerah Pitas adalah institusi yang sangat penting dalam menyelaraskan pentadbiran tempatan dan berperanan besar dalam merancang, mengurus dan melaksanakan pelbagai program serta inisiatif untuk kesejahteraan rakyat berbilang kaum.
“Kita memerlukan pemimpin yang berwawasan, berintegriti dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam memajukan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berharap dengan pelantikan ini ia akan memudahkan pihak Majlis Daerah membuat keputusan secara kolektif dan menjalin kerjasama dalam menjalankan tugas seharian untuk memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti dapat diberikan kepada rakyat.
Dalam menghadapi cabaran pembangunan dan kemajuan daerah, kita mesti sentiasa bersikap proaktif, berinovasi dan sensitif terhadap kehendak serta keperluan rakyat, tambahnya.
Katanya, kerajaan Negeri Sabah akan terus berusaha memastikan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan tidak ada yang tertinggal dalam arus kemajuan yang dibawa oleh kerajaan sekarang.
18 orang Ahli Majlis Daerah Pitas sesi 2025/2027 yang terdiri dari, Datuk Ng Loi Tect, Ramlah Nasir, Dato Abdul Tani Lo Shen Foh, Miswan Yahya, Awang Okik, Nasir Haji Jakop, Ng Lai Thau, Tan Bun Dat, Jamaul Inatul, Malai Saharuddin Malai Ahmat @Udin, Barani Madalau, Sabran Amang, Dr. Samuil Mopun, Masikah Ruminji, Jae-ly Midong, Nursalin Salam, Noraliza Abdul Hari dan Justice Madusun.
Hadir sama, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap ADUN Bengkoka Datuk Harun Durabi, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Pitas, Dato Sri Ruddy Awah, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Pitas, Asdi @Mohd Faizal Hussin, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Pitas, Abdul Hafiz Yahya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Stanley Chong Hon Chung, Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Puan Faridah Giau dan seluruh warga kerja Majlis Daerah Pitas.

KENANGAN… Isnin (tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama tetamu dan Ahli Majlis Daerah Pitas yang baharu.