Gugat kestabilan Kerajaan Negeri – Nizam
TAWAU : Masyarakat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang cuba menggugat kestabilan politik negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kestabilan politik amat penting dalam memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
“Saya berharap penduduk kampung tidak mudah terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah bagi melemahkan keyakinan rakyat terhadap keprihatinan dan kesungguhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga secara konsisten memberi tumpuan sepenuhnya ke arah memajukan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menghadiri Program Jiwa@Komuniti MADANI di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinagat.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan prihatin terhadap keperluan rakyat merentasi semua lapisan masyarakat.
“Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) jelas membuktikan kerajaan hari ini benar-benar berusaha menyalurkan bantuan dan melaksanakan pelbagai inisiatif demi kepentingan rakyat.
“Semua ini hanya dapat dicapai melalui kestabilan politik. Justeru, saya menyeru rakyat agar terus bersatu dan mempertahankan kestabilan demi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan untuk kesejahteraan bersama,” katanya.
Turut hadir ADUN Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.68 Apas, Azriansyah Ali.-Penerangan.







