Siri Pertama
LEBIH 350 ahli keluarga besar Rumpun Waris Imam Umpau (PEWARIS) berhimpun dalam suasana penuh mesra dan haru sempena Majlis Sambutan Hari Raya PEWARIS yang berlangsung meriah di Dewan Seri Lamag, Pekan Kota Kinabatangan pada hari raya ke-3 bersamaan 2 April 2025.
Acara yang dianjurkan oleh Generasi Pertama Hajah Muyot Binti Imam Umpau ini bukan sekadar perjumpaan Aidilfitri, tetapi simbol kepada ikatan kekeluargaan yang terus utuh merentasi tujuh generasi sejak awal abad ke-19 dengan slogan ‘Runattu Mipomppon Sunsugan’ yang membawa makna ‘Hari ini Pertemuan Generasi’.
Cetusan idea menjejaki Rumpun Waris Imam Umpau ini bermula pada 2009 lagi.
Sebelum ini ada beberapa kali majlis sambutan hari raya seumpama ini pernah dilakukan.
Anjuran sedemikian pada 2011 telah mencecah 600 ahli keluarga yang mengadirinya.
Namun kali ini jemputan dihadkan lantaran ruang tempat mengadakan majlis berkenaan agak terhad.
Semua yang hadir amat berharap kehadiran yang lebih ramai lagi ahli keluarga pada tahun yang mendatang terutama dengan siapnya dewan serba guna baru yang sedang dalam pembinaan di Pekan Baru Kota Kinabatangan.
Pada ketika ini, PEWARIS telah mencecah 7 generasi yang majoritinya menetap di sekitar daerah Kinabatangan.
Kesempatan pulang kampung sempena Hari Raya Aidil Fitri inilah merupakan ruang yang sesuai untuk mengumpul seberapa ramai keluarga yang jauh dan dekat dari segenap pelusuk daerah di Sabah.
Selain itu ada yang datang dari Kuching, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, semata-mata tidak mahu melepaskan detik indah mengadiri perhimpunan keluarga besar PEWARIS, terutama generasi muda yang ramai pulang bercuti dari universiti atau berkerja di Semenanjung Malaysia.
Menurut Hajah Fatimah, cucu kepada anak sulung Imam Umpau iaitu Hajah Aminah (lahir 1918), pada awal tahun 1900-an seramai 25 orang saudara-saudara bersepupu daripada Banjarmasin, Propinsi Kalimantan Selatan (KalSel) telah melakukan pengembaraan bersama daripada Banjarmasin ke Pantai Barat Borneo Utara (Sabah).
Salah seorangnya merupakan datuk beliau iaitu Imam Umpau. Diceritakan, hasrat utama mereka asalnya adalah untuk mencari ruang pekerjaan atau perniagaan yang boleh mendatangkan pulangan yang baik terutama berbentuk wang ringgit.
Menurut mereka, walaupun kampung halaman mereka yang terkenal sebagai ‘Kota Seribu Sungai’ tersebut menyediakan kekayaan alam semula jadi serta kaya dengan sumber makanan, namun punca pendapatan dalam bentuk wang tunai masih agak sukar diperolehi ketika itu.
Sebab itu, mereka berpakat-pakat untuk merantau ke Pantai Barat Borneo Utara (Sabah) meninjau-ninjau keadaan di sana, kemudian bercadang kembali ke kampung halaman semula.
Pelayaran menaiki tongkang dari KalSel tersebut, akhirnya mendarat di kampung-kampung pinggir sekitar Bahagian Sandakan.
Setiba di sana, mereka membawa haluan perjalanan masing-masing dan berjanji semula untuk bertemu pada satu masa yang telah ditentukan untuk pulang ke kampung halaman.
Ada yang menyusur Sungai Sugut hingga ke hulu, ada yang singgah di Tundun Bohangin (Panglima Sabran), Pintasan (suami arwah Nenek Pone’), ada yang mudik jauh ke hulu hingga ke Kg Pinangah (Imam Pak’ Bagon), Kinabatangan (Imam Tarip), Imam Taganal, Hj Ahmad, Hj Ismail.
Manakala Imam Umpau, singgah menetap di Kampung Sabangan Lama, Kinabatangan.
Inilah antara nama-nama yang Hjh Fatimah masih dalam ingatannya melalui kisah yang diceritakan oleh ibunya, Hjh Aminah Binti Umpau.
Namun, sampai ketikanya untuk balik ke kampung halaman, hanya ada beberapa orang sahaja yang kembali ke Banjarmasin, selebihnya telah menetap di tempat masing-masing sebelumnya.
Oleh kerana 25 pengembara bersaudara ini semua berlatar belakangkan pendidikan agama Islam yang mendalam sejak di kampung halaman, maka penduduk kampung merayu agar mereka terus tetap di kampung tersebut untuk mengajarkan agama Islam di sana.
Dari pada itu kebanyakan mereka dilantik sebagai guru agama, imam, ketua kampung atau Orang Kaya-Kaya (OKK) (selepas era penjajahan British dipanggil Ketua Anak Negeri dan diberi gelar ‘panglima’), atas permintaan masyarakat tempatan yang menghargai latar belakang pendidikan agama mereka.
Walau pun pada ketika itu, Islam telah dianuti kebanyakkan masyarakat ke Pantai Timur Sabah, namun amalannya masih bercampur baur dengan budaya dan adat animisme.
Akhirnya ramai di kalangan mereka berkahwin dengan masyarakat setempat dan dipercayai tidak kembali lagi ke kampung halaman mereka selepas itu dan meninggal dunia di kampung yang mereka diami. -Bersambung


telah kembali ke rahmatullah).

Othman Imam Umpau.
