Program Prihatin 5 dalam 1 anjuran PRIHATIN-S berjaya

KOTA KINABALU: Program Prihatin 5 dalam 1 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Prihatin Sejahtera Sabah (PRIHATIN-S) yang diadakan selama dua hari di salah sebuah hotel terkemuka di Putatan berjalan dengan jayanya.
Yang Dipertua PRIHATIN-S, Datuk Ahmad Lakim berkata lima program itu ialah taklimat khas NGO Prihatin Menjelang 2030 dan Kesihatan, Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama, Bengkel Fokus Group (BFG), Sumbangan Prihatin Asnaf dan Majlis Raya Warga Prihatin.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga secara langsung atau tidak langsung, penyumbang dana dan CSR terutama pihak MUIS dan Mc Donald’s KKIA dan Api-Api Kota Kinabalu yang memberi sumbangan untuk para asnaf dan AJK Induk serta AJK Pelaksana Program P5/1.
“Jutaan terima kasih juga kepada semua jemputan para peserta Bengkel Fokus Group yang terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman seperti bidang keusahawanan, kesihatan, perubatan modern dan traditional, ekonomi, keselamatan, arkitek, kaunseling, motivasi, kemasyarakatan, kebudayaan, NGO dan agama,”katanya.
“Kami juga menyampaikan terima kasih kepada pembentang dapatan dalam bengkel dan penceramah Dato’ Seri Paduka Diraja Dr Mazlina Abdullah, pakar perubatan, aktivis NGO dan mutawwifah yang diterbangkan dari Putrajaya/KL kerana sudi menjayakan program itu.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua ahli-ahli PRIHATIN-S yang sempat melapangkan masa, menjayakan dan menyerikan lagi pengisian Program 5/1 sepanjang 2 hari .
“Siapalah PRIHATIN-S tanpa ahli-ahli yang mesti memberi komitmen tinggi, bekerjasama dalam satu pasukan dan Ikhlas berkhidmat untuk warga komuniti dan negara.
Ahmad juga mengucapkan tahniah kepada YM Dato’ Seri Dr. Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood dan Tuan Eddy Berhan Ruslan yang kedua-duanya dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Seumur Hidup dan Ahli tetap Majlis Penasihat PRIHATIN-S.
Katanya,PRIHATIN-S berhasrat menyediakan platform perkampungan dan transit kehidupan bahagia yang harmoni, aman dan damai menjelang tahun 2030.
PRIHATIN-S diwujudkan sebagai pemangkin pembangunan kerjaya dan kehidupan 5 komuniti iaitu Warga Emas (WE), Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Kurang Mampu (OKM), Anak-anak Yatim (AAY) dan Anak Remaja Terbiar (ART).
PRIHATIN-S ingin membantu pihak kerajaan, agensi kerajaan dan bersedia kolaborasi dengan pihak-pihak yang mempunyai objektif yang sama dengan PRIHATIN-S.

PESERTA … Kepimpinan PRIHATIN-S bergambar bersama peserta program 5 dalam 1.