Utamakan keselamatan peralatan elektrik, gas – Hajiji

KOTA KINABALU: Rakyat diingatkan agar sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan peralatan elektrik dan gas, khususnya barangan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, lambakan barangan dari luar negara yang memasuki pasaran tempatan termasuk di Sabah, sememangnya memberi manfaat kepada pengguna dari segi kepelbagaian pilihan dan harga.
“Namun begitu, aspek keselamatan barangan tersebut tidak boleh dipandang ringan. Sebagai kerajaan, kita komited dan serius dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
“Saya mahu pihak yang bertanggungjawab sentiasa berusaha memperkukuhkan perlindungan pengguna, khususnya dalam aspek keselamatan barangan pengguna,” katanya.
Hajiji berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak serta Pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM dan Program TVET Angkat ECoS sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS.
Menurut Hajiji, kerjasama strategik tersebut amat penting dan menzahirkan pengiktirafan bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas, di samping menekankan peranan penting ECoS dalam memastikan semua produk yang digunakan rakyat menepati piawaian keselamatan tertinggi.
“Pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini merupakan satu inisiatif proaktif oleh ECoS untuk melindungi kepentingan pengguna, termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang selamat serta berkualiti tinggi dipasarkan di negeri ini.
“MoU antara ECoS dan Kerajaan Sarawak menerusi MUT juga merupakan satu lagi bidang kerjasama penting yang akan memberi manfaat bersama hasil daripada pertalian erat yang terjalin antara Sabah dan Sarawak melalui kedua-dua badan pengawalseliaan,” ujarnya.
Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa penubuhan ECoS membuka lembaran baharu dalam pengurusan sektor tenaga di Sabah, dan dengan kuasa pengawalseliaan yang dimandatkan menerusi peruntukan undang-undang, ECoS akan terus komited menyokong pembangunan ekonomi negeri serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.-Penerangan.

SAKSIKAN …. Hajiji menyaksikan penyerahan sumbangan RM10,000 daripada ECos kepada Rumah Anak-Anak Yatim As-Sakinah.