LABUAN: Seramai 30 orang pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai lawatan industri ke Maybank International Labuan pada Rabu lalu.
Program lawatan itu diketuai oleh Pensyarah Kanan FKAL merangkap Penasihat Kelab Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir, Dr. Jaludin Janteng.
Turut bersama Pengarah Program, Devyaletchumy A/P Vijian, yang memainkan peranan penting dalam merancang serta menyelaras keseluruhan perjalanan
program.
Lawatan berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan langsung kepada pelajar tentang operasi sebenar perbankan antarabangsa dan luar pesisir, sejajar dengan usaha fakulti dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan industri.
Sepanjang sesi lawatan, pelajar mendengar taklimat daripada Pengurus Besar
Maybank International Labuan, Nor Rashidi Mohammad, bersama beberapa pegawai
kanan bank.
Mereka berkongsi pengetahuan tentang struktur operasi perbankan luar pesisir,
pengurusan pelanggan korporat antarabangsa serta cabaran dan peluang dalam industri kewangan global.
Dr. Jaludin berkata, lawatan itu merupakan satu pengalaman yang sangat bernilai dan memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai kerjaya dalam sektor kewangan antarabangsa.
“Lawatan itu membuka ruang kepada pelajar untuk membina jaringan profesional, memahami amalan kerja industri serta mengenal pasti potensi kerjaya dalam bidang perbankan antarabangsa.
“Ini adalah selaras dengan keperluan membina graduan holistik dan bersedia untuk cabaran global,”katanya.
Dr. Jaludin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah Program, Devyaletchumy A/P Vijian dan ahli jawatankuasa pelaksana, atas usaha gigih dan kerja keras dalam memastikan kelancaran program ini.









