Hargai jasa pesara guru Labuan

LABUAN: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5 PM) Daerah Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan telah, sedang dan akan melaksanakan 10 aktiviti sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, Hajah Dg Pungut Abdul Jalil berkata program berkenaan ialah Mengaji al-Quran setiap hari Khamis, ⁠Program Tadarus al-Quran bulan Ramadan, ⁠Program Kami Sayang Kamu, ⁠Program Ziarah Cakna Warga Emas di Kg Tanjung Aru, Labuan dan ⁠Program Ziarah Cakna kepada rakan-rakan pesara yang sakit di hospital atau ditimpa musibah.
Selain itu, ⁠program ziarah menyampaikan sumbangan kepada pesara yang telah meninggal, ⁠sambutan Hari Raya, Hari Ibu dan Hari Guru serta ⁠Karnival My Pesara Sempena Hari Kemerdekaan (Ogos / September).
“Kami juga merancang untuk mengadakan lawatan ke Beaufort, Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
“Lawatan ke Jakarta dan Bandung Indonesia pada bulan September 2025,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru 2025 5 PM DC WP Labuan di salah sebuah hotel, di sini pada Sabtu.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Haji Mohd Rafi Datuk Haji Alli Hassan.
Pada majlis itu, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menyampaikan sumbangan kewangan kepada tiga pesara guru yang akan menunaikan haji pada tahun ini.
⁠48 pesara guru yang hadir turut mengadakan acara pertukaran hadiah sekaligus mampu mengeratkan lagi hubungan antara mereka.
Mohd Rafi berkata beliau akan terus membantu badan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti mereka mendidik anak bangsa.
Sehubungan itu, Mohd Rafi akan memperluaskan program Ziarah Kasih Cikgu Kesayangan kepada guru-guru selain guru yang pernah mendidik beliau.
Beliau amat terharu dan bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama insan-insan hebat ini yang telah mencurah bakti dan mendidik ribuan anak bangsa dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
“Terima kasih cikgu. Jasamu dikenang sepanjang hayat,”katanya.
Mohd Rafi turut mengumumkan sumbangan setiap tahun agar dapat membantu persatuan terus aktif.

KENANGAN …. Mohd Rafi, Yahya (lima kanan), Abdul Wahid (lima kiri) dan Dg Pungut (empat kanan) bersama AJK 5P Labuan.