MEMBAKUT: Dewan Masyarakat Membakut yang mula dibina, bakal memberi manfaat dan kemudahan kepada masyarakat setempat.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata dewan berkapasiti lebih kurang 1,000 hingga 2,000 orang itu bakal disiapkan dalam masa lebih kurang setahun dan akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
“Hari ini, kita mengadakan majlis pecah tanah dewan masyarakat baharu yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dua tahun lalu dan sekarang kita akan mula laksanakan pembinaannya dengan bajet RM6 juta.
“Dewan ini dijangka akan siap dalam tempoh lebih kurang setahun,” kata Arifin semasa ditemui media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Dewan Masyarakat Membakut pada Sabtu, mewakili Ketua Menteri.
Menurut Arifin, dewan tersebut bakal dilengkapi kemudahan seperti gelanggang badminton, manakala kemudahan lain seperti dewan makan akan disiapkan dalam fasa berikutnya.
Beliau berharap dewan tersebut dapat menampung aktiviti-aktiviti masyarakat setempat termasuk sambutan perayaan dan juga acara-acara lain.
Pada majlis tersebut, Arifin turut menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kepada 44 individu dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan DUN Bongawan.
Dalam majlis itu juga, Arifin menyerahkan replika kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 10 penerima dan Bantuan Pendidikan Negeri Sabah (BPNS) bagi DUN Membakut dan DUN Bongawan berjumlah RM1 juta.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SEDCO Datuk Rubin Balang dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin.-Penerangan.







