Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Dua lelaki ditahan polis selepas dilaporkan mengamuk dalam dua kejadian berasingan di daerah ini.
Kedua-dua lelaki berusia 20-an dan 40-an yang didapati positif dadah ditahan sepasukan polis MPV selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek pertama merupakan lelaki tempatan yang ditahan di Taman Wawasan, Jalan Utara.
Katanya, pasukan polis yang sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah menerima makluman terdapat seorang lelaki mengamuk di taman perumahan tersebut.
“Suspek ditahan bagi tujuan pencegahan jenayah dan polis turut mengesyaki lelaki itu memasukkan bahan terlarang ke dalam tubuh badan,”katanya dalam kenyataan media.
Manakala, suspek kedua yang merupakan warga asing diberkas MPV BPJKK IPD Tawau susulan makluman diterima mengenai aduan orang mengamuk di Kampung Buton.
“Polis segera bergerak ke lokasi dan menahan seorang lelaki warga asing berusia awal 20-an bagi tujuan pencegahan jenayah dan keselamatan penduduk sekitar,”katanya.
Jasmin berkata, kedua-dua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan saringan awal ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


selepas mengamuk ditempat awam.






