KOTA KINABALU: Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Api Api berharap individu yang dipilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 adalah yang terbaik dan mempunyai keupayaan memperjuangkan nasib rakyat di kawasan itu.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Api Api, Salmi Sarinoh berkata, Wanita Gagasan Rakyat Api Api akan menyokong siapa sahaja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan dan akan terus berdiri teguh di belakang keputusan parti.
“Kami harap calon yang dipilih walau daripada parti mana pun dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah individu yang terbaik dan besedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya semasa Persidangan Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Api Api di sini.
Sementara itu, Salmi mahu wanita Gagasan Rakyat Api-Api memiliki kebijaksanan menilai dan memberi fokus kepada kerja parti dan tidak melayan provokasi yang hanya bertujuan memecah-belahkan kesatuan parti.
“Ingatlah kekuatan kita bukan sahaja terletak pada bilangan tetapi pada kesetiaan, keikhlasan dan keteguhan pendirian kita dakam mempertahankan perjuangan parti,” katanya.
Beliau juga menyeru agar jentera pergerakan itu memperkukuhkan kekuatan dalaman, menyusun langkah dengan lebih tersusun dan tampil berani di medan perjuangan demi memastikan kemenangan parti di DUN Api Api.
Sementara itu, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Api Api Emmie Datuk Martin Idang berkata walaupun bahagian Api-Api bukan kerusi milik Gagasan Rakyat sekarang, ia tetap medan strategik untuk menyebarkan pengaruh dan dasar perjuangan parti kita kepada masyarakat bandar.
Katanya, kehadiran dan gerak pergerakan itu di DUN Api-Api akan membantu memperkenalkan Gagasan Rakyat sebagai parti yang inklusif dan prihatin kepada semua golongan di bandar mahupun luar bandar.
“Bahagian Api-Api boleh berperanan sebagai ‘pusat penyebaran maklumat dan sokongan’ bagi kawasan-kawasan lain. Ramai penduduk Kota Kinabalu yang bekerja dan menetap di Api-Api sebenarnya berasal dari daerah luar.
“Apabila kita mendekati mereka di bandar, secara tidak langsung kita turut mendekati keluarga dan kenalan mereka di kampung halaman.
Sokongan yang kita pupuk di DUN Api-Api boleh menjalar ke kawasan-kawasan lain di seluruh Sabah dan di situlah peranan kita sebagai agen penyampaian dan agen perubahan menjadi efektif dalam penyebaran maklumat, polisi serta inisiatif kerajaan di bawah pimpinan YAB Presiden kita,” katanya.-JT.






