Pemandu cedera, kereta terbabas di Inanam

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di jalan berhampiran Inanam Taipan, di sini, Sabtu malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, kereta mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik di tepi jalan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.43 malam.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah kereta terlibat dalam kemalangan dipercayai terbabas sendiri.
“Terdapat seorang mangsa berusia 26 tahun terlibat dalam kemalangan berkenaan dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dibawa ke hospital.
Agustavia berkata pihaknya kemudian bertindak membersihkan sisa tumpahan minyak akibat kemalangan berkenaan.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang timbul, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 12.17 tengah malam,” katanya.

TERBALIK …Kereta mangsa terbalik dipercayai terbabas sendiri di kawasan berkenaan.