Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Pengedar barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terkemuka di Malaysia Timur, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengumumkan kejayaan perolehan tanah bernilai RM40 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi pembangunan Taman Perindustrian KTC, hab bersepadu terbesar kumpulan ini untuk operasi, logistik dan pembuatan.
Pelaburan itu dijangka mampu memperluas asas operasi KTC sedia ada sebanyak 40 peratus, manakala hasil pendapatan pula dijangka meningkat sebanyak 50 peratus.
“Langkah strategik ini akan melonjakkan perolehan tahunan KTC kepada sekitar RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat terkemuka di Sabah dan seluruh Malaysia Timur.
“Pelaburan strategik ini juga menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan, dan dijangka menyokong rancangan pengembangannya untuk lima tahun akan datang,” kata Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.
Menurut Dexter, lokasi strategik tanah tersebut terletak di zon perindustrian yang pesat membangun dan mampu menjadi asas kepada pembangunan masa depan KTC dalam bidang pergudangan, infrastruktur logistik, pengangkutan dan kemudahan operasi.
“Perkembangan ini dijangka akan meningkatkan kecekapan operasi, melancarkan keupayaan rantaian bekalan, dan mengukuhkan lagi kehadiran KTC di pasaran sedia ada dan baru di seluruh Malaysia.
“Taman Perindustrian KTC juga bakal menjadi sebuah pusat pengedaran FMCG terbesar di rantau ini, yang direka bentuk untuk berkhidmat secara efisien ke pasaran Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
“Pelaburan ini merupakan langkah strategik yang meletakkan kami di landasan pertumbuhan mampan dan mampu untuk menyediakan ruang serta infrastruktur yang diperlukan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta memberi khidmat kepada rakan niaga kami dengan lebih berkesan,” kata Dexter Lau lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa perolehan itu adalah selaras dengan misi KTC untuk membina nilai jangka panjang melalui kecemerlangan operasi dan pandangan strategik.
“Taman Perindustrian KTC yang baharu ini akan meningkatkan keupayaan logistik KTC secara signifikan dan membolehkannya memenuhi permintaan yang meningkat terhadap produk FMCG di pelbagai rantau.
“Perkembangan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi dan pertumbuhan ekonomi serantau, malah dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pengembangan ekosistem rantaian bekalan yang lebih meluas di Malaysia Timur dan kawasan sekitarnya,” katanya.







