SEMPORNA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian N.65 Senallang menyatakan kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada bila-bila masa.
Ketua Bahagiannya, Mohd Rashdey Datuk Haji Sabardin, berkata bahawa seluruh jentera parti di Senallang telah digerakkan dan perpaduan dalam parti semakin kukuh demi memastikan kejayaan dalam PRN akan datang.
“Kami telah bersedia untuk memasuki gelanggang demokrasi demi memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat serta menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan PGRS N.65 Senallang yang diadakan di Dewan Arena Semporna baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah, Ahli Majlis Tertinggi PGRS merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, dan dihadiri oleh 1,440 perwakilan termasuk tetamu jemputan dari parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti USNO dan STAR.
Menurut Mohd Rashdey, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan GRS juga semakin meningkat, dan ini memberikan semangat kepada PGRS Senallang untuk terus mara ke hadapan.
Tambah menarik, ahli-ahli daripada 19 cawangan parti lain seperti UMNO, WARISAN dan PKR di kawasan Senallang turut membuat keputusan menyertai PGRS, sekaligus memperkukuh kekuatan bahagian tersebut.
Dalam konteks PRN17, nama Mohd Rashdey turut disebut-sebut sebagai calon yang bakal bertanding di DUN Senallang, dan dijangka berentap dengan penyandang kerusi tersebut iaitu Datuk Seri Shafie Apdal, Presiden Parti Warisan.
Sementara itu, Ketua Penerangan PGRS Senallang, Akmat Ali, telah mengusulkan agar Mohd Rashdey dinamakan sebagai calon tunggal bagi kerusi DUN Senallang. Usul itu telah mendapat sokongan padu daripada 1,300 perwakilan.
Antara yang turut hadir dalam persidangan tersebut ialah, Naib Presiden USNO, Haji Ahmad Kanajaan, Ketua Bahagian USNO Bugaya, Sufian Haji Ahmad, Ahli Jawatankuasa Bahagian USNO, Ketua Bahagian PGRS Sulabayan, Datuk Hj Abdul Hajan Gurimbang bersama AJK Bahagian, Ketua Bahagian STAR Sulabayan, Bidin Jawah dan barisan AJK Bahagian.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyerahan borang keahlian baharu kepada Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah sebagai simbolik sokongan terhadap kepimpinan dan perjuangan PGRS di kawasan Senallang.









