Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mempertahankan garis panduan penguatkuasaan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus pengurusan serta pengagihan royalti.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengawal selia CMO sejak 2012 menerusi Akta Hak Cipta 1987 dan Peraturan-Peraturan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2012.
Menurutnya, beberapa pindaan undang-undang dilaksanakan bagi menangani pertikaian berkaitan kutipan dan pelesenan muzik serta pengagihan royalti antara CMO dengan ahli atau pemegang hak cipta.
Beliau berkata, pengenalan Seksyen 59C pada 2019 menyediakan saluran penyelesaian pertikaian melalui Tribunal Hak Cipta, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.
Pemantauan turut diperkukuh menerusi pembaharuan perisytiharan CMO setiap dua tahun di bawah Seksyen 27A(3A), manakala Seksyen 27M yang diperkenalkan pada 2022 memberi kuasa kepada Pengawal Hak Cipta mengeluarkan garis panduan berkaitan pengoperasian CMO.
Armizan berkata, garis panduan berkenaan diterbitkan MyIPO pada 17 Januari 2025 dan dirancang untuk dikuatkuasakan sepenuhnya pada 17 Januari 2026 terhadap ketiga-tiga CMO.
Bagaimanapun, pelaksanaannya tertangguh susulan bantahan dan tindakan semakan kehakiman oleh Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) pada 16 April 2025. Pendengaran substantif kes itu dijadualkan pada 24 November 2026.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, mengenai mekanisme memastikan kutipan, pengiraan dan pengagihan royalti dilaksanakan secara telus serta boleh diaudit.
Menurut Armizan, garis panduan itu turut merangkumi penambahbaikan pengurusan rekod kewangan dan tarif, pelantikan ejen pelesenan serta hak pengundian dalam mesyuarat agung tahunan.
“KPDN melihat penguatkuasaan garis panduan ini amat kritikal bagi memperkukuh ketelusan tadbir urus CMO, termasuk dalam penetapan kadar tarif yang munasabah, kutipan pelesenan dan pengagihan royalti.
“Justeru, KPDN akan terus mempertahankan garis panduan ini mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Armizan Mohd Ali.





