Warga Emas Hilang Ditemui Lemas

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA BELUD: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Rajunah, di sini, petang Isnin, ditemukan lemas, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Togoi Tawan, 70, ditemui oleh orang awam kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya pada jam 6.39.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, mangsa dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4.40 petang dengan membawa jala menuju ke sungai berhampiran rumahnya.
Bagaimanapun katanya, ahli keluarga mangsa mula bimbang selepas mangsa didapati tidak pulang sehingga jam 9 malam sebelum membuat laporan polis.
“Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.
“Operasi pencarian dilakukan bersama pasukan bomba, namun terpaksa ditangguhkan pada sebelah malam berikutan keadaan gelap,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihak polis bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mangsa.
Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Belud dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

LEMAS …. Pasukan bomba hadir di lokasi untuk membantu mengangkat mayat mangsa.