GBM hasrat tanding semua kerusi Parlimen Sabah pada PRU

KOTA KINABALU: Gabungan Bebas Merdeka (GBM), sebuah pergerakan politik bebas yang menghimpunkan calon-calon Bebas, berhasrat meletakkan calon di semua kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Dr Kanul Gindol, berkata gabungan itu kini mengenal pasti dan menilai bakal calon yang akan diketengahkan.
Beliau berkata jumlah calon sebenar hanya akan diumumkan pada persidangan GBM menjelang pembubaran Parlimen, yang dijangka sebelum penghujung 2027.
Menurutnya, GBM yang dilancarkan pada 14 Ogos lalu sedang giat memperkenalkan dua agenda utama, iaitu Perdana Menteri Malaysia bagi PRU16 wajar berasal dari Sarawak dan jawatan itu digilirkan setiap lima atau lapan tahun antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Dr Kanul berkata GBM turut menyusun jawatankuasa kawasan di semua 26 kerusi Parlimen Sabah dan Labuan, selain membuka ruang kerjasama dengan parti politik tempatan yang bersesuaian.
Beliau tidak menolak kemungkinan mendaftarkan parti politik baharu, namun berkata sebarang kerjasama masih dalam penelitian dan belum dimuktamadkan.
Katanya, GBM menyasarkan gerakannya lebih dirasai di seluruh Sabah selepas Februari 2027, apabila struktur kepimpinan di sekurang-kurangnya 24 kawasan Parlimen dibentuk dengan kukuh.
Beliau menegaskan pemilihan calon akan diputuskan oleh pimpinan GBM di peringkat kawasan, bukannya jawatankuasa eksekutif atau dirinya sendiri, bagi memastikan proses pemilihan lebih tersusun.
Mengenai kriteria calon, Dr Kanul berkata mereka perlu mempunyai kesihatan yang baik, jujur, bijaksana serta memahami agenda perjuangan GBM demi kepentingan rakyat dan Sabah.
Beliau turut memaklumkan GBM merancang melancarkan Proklamasi Budaya Politik gabungan itu di Tuaran bulan ini, yang mengandungi lima prinsip sebagai panduan kepada semua pemimpinnya.

Dr Kanul Gindol ketika bercakap dengan pelapor Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva kira-kira 15 tahun lalu.