Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Seorang gelandangan ditemukan meninggal dunia di sebuah kedai kosong selepas orang awam terhidu bau busuk, dalam kejadian di Batu 15, Jalan Apas, di sini.
Mangsa lelaki terbabit ditemui kira-kira jam 11 pagi sebelum satu laporan polis dibuat untuk mendapatkan bantuan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau terus digerakkan ke lokasi.
Katanya, siasatan awal mendapati mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan meniarap dan berbantal.
“Mangsa yang dikenalpasti seorang gelandangan dipercayai meninggal dunia ketika sedang tidur.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kecederaan ataupun unsur jenayah pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pihaknya percaya mangsa telah berada di lokasi sejak kira-kira seminggu lalu sebelum ditemui meninggal dunia.
“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Tawau sebelum mayat dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.

DITEMUKAN …. Mayat dipercayai gelandangan ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kedai kosong.







