Oleh FARDY BUNGGA
LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita 55 kenderaan yang didapati gagal mematuhi Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 sepanjang tahun 2025.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, semua rampasan berkenaan dianggarkan bernilai keseluruhan termasuk cukai melebihi RM7.1 juta.
Katanya, semua kenderaan terbabit disita menerusi beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Sabah dan Sarawak.
“Semua kenderaan berkenaan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) menggunakan kemudahan di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
“Bagaimanapun, kenderaan-kenderaan itu didapati gagal dikembalikan ke Pulau Bebas Cukai selepas tamat tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan, JKDM Labuan.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
Katanya, kenderaan pelbagai jenama itu disita dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai Langkawi dan Labuan hanya dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) untuk tempoh tidak melebihi 90 hari dalam setahun,” tegasnya.

SITA … Aspalila meninjau kenderaan yang disita kerana gagal mematuhi Perintah Duti Kastam.






