SEMPORNA: Festival Seni & Budaya Bajau Malaysia 2025 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang selepas berlangsung selama tiga hari, bermula 29 hingga 31 Ogos di Dewan Belia Semporna.
Program bertaraf kebangsaan itu berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta mewakili sembilan negeri, iaitu Sabah, Sarawak, Perak, Johor, Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
Festival berprestij ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) serta Kerajaan Negeri Sabah.
Kerjasama turut diberikan oleh Terowong Street, Parapat Resort dan Pakalangan Bay yang memastikan kelancaran penganjuran.
Majlis perasmian festival disempurnakan oleh Pegawai Daerah Semporna, Syazwan Datuk Haji Masood pada malam pembukaan, manakala majlis penutupan rasmi pada 31 Ogos dirasmikan oleh wakil Gerakan Agenda Budaya Sama-Bajau Progresif Semporna, Datuk Dr. Sa’adilah Abdillah.
“Festival ini membuktikan seni dan budaya mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum, sekali gus memartabatkan Semporna sebagai pusat warisan Bajau di persada kebangsaan,” kata Syazwan ketika berucap pada majlis perasmian.
Antara pengisian utama festival ialah Pertandingan Tarian Etnik Perpaduan Malaysia, Pertandingan Busana Etnik (dewasa dan kanak-kanak), Pertandingan Kulinari Etnik, Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik dan Lagu Etnik, Pertandingan Tarian Igal-Igal serta Pertandingan Mewarna Kanak-kanak sempena Hari Kemerdekaan.
Selain pertandingan, penganjuran turut diserikan dengan Forum Bicara Seni Budaya bersama tokoh seni negara, senaman budaya, kuiz interaktif, cabutan bertuah dan perarakan Hari Kemerdekaan di sekitar Semporna yang berjaya menarik perhatian pengunjung.
Bagi Pertandingan Tarian Etnik Perpaduan Malaysia, juara dimenangi kumpulan Budjang Aura Tanjak Hitam (Sabah), naib juara Legasi Melanuk (Perak) dan tempat ketiga Budjang Sabahan (Sarawak).
Pertandingan Kulinari pula dimenangi Gandik Raisha (Sabah), manakala Pertandingan Busana Etnik Dewasa dimenangi Melsahara Haji Marsal (Sarawak).
Untuk kategori Busana Etnik Kanak-kanak, kemenangan berpihak kepada Nur Qaila Nasuha Abdullah (Selangor), naib johan Raisyah Solehah (Sabah) dan tempat ketiga Nur Syuhadah Aulia Abdullah (Sabah).
Sebagai penghargaan khas, Anugerah Tokoh Warisan Seni & Budaya Malaysia 2025 disampaikan kepada Haji Biskai Mastal Kumar Munju, manakala Anugerah Ikon Budaya diberikan kepada Norijah Masmud.
Penganjur turut menyalurkan pelbagai hadiah termasuk barangan elektrik, trofi, selempang, hamper dan sijil penyertaan kepada peserta.
“Kami amat menghargai pengorbanan masa dan tenaga semua peserta. Walaupun hadiah dan anugerah disumbangkan oleh pertubuhan sendiri, ia adalah tanda penghargaan ikhlas kepada semua yang menjayakan festival ini,” kata Presiden Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna, Nazmahwati Wali.
Dr. Sa’adilah dalam ucapan penutupan pula menegaskan bahawa festival ini harus dijadikan acara tahunan bertaraf kebangsaan kerana bukan sahaja menampilkan persembahan budaya, tetapi juga berperanan sebagai wadah perpaduan dan pewarisan identiti bangsa kepada generasi muda.
Dengan sambutan yang begitu memberangsangkan, Festival Seni & Budaya Bajau Malaysia dicadang untuk dijadikan acara tahunan bermula tahun 2026, sekali gus menobatkan Semporna sebagai pusat seni budaya kebangsaan.






