Sampaikan mesej, kritikan secara berhemah – Pandikar

KOTA BELUD: Penulis yang baik adalah penulis berhemah dan berdisiplin serta  berhati-hati dalam menyampaikan mesej dan kritikan melalui karya.
“Bahkan karya yang mereka hasilkan dapat mendorong pembaca untuk berfikir secara positif seterusnya memberi nilai tambah berupa pengetahuan,” kata bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.
Beliau yang juga penaung BKI (Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah) berkata, novel bertajuk ‘Manuskrip’ karya Mabulmaddin Shaiddn yang dibicarakan oleh Zaen Kasturi dalam program Bicara Karya adalah salah satu contoh novel yang perlu dibaca kerana mengungkayahkan kearifan tempatan negeri Sabah, yang seharusnya sudah lama ditampilkan oleh penulis Sabah yang lain bagi pengetahuan masyarakat banyak.
“Generasi muda perlu berusaha ke arah ini, iaitu berusaha sebaik mungkin untuk menggali khazanah kearifan tempatan kita.
“Belajar menulis daripada penulis yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini. Tak perlu menjadi penulis di media sosial yang setiap hari mencari kesalahan dan aib manusia lain, lalu disajikan dalam wall medsos masing-masing,” ujarnya.
Pandikar berkata demikian semasa berucap dalam program Bicara Karya dan pelancaran novel Manuskrip karya Mabulmaddin Shaiddin dan kumpulan cerpen Gkalilang sa Pandasan karya Siba Nita AS, anjuran PSBS (Persatuan Sastera dan Budaya Sabah) di Dewan Seminar R&R, Kota Belud.
Turut hadir, pembicara karya Manuskrip, Zaen Kasturi dan Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) Dr Haji Norawi Hj Kata.
Katanya lagi, ritual persaudaraan minum darah yang dikisahkan dalam Manuskrip sudah hilang daripada pengetahuan generasi sekarang  dan oleh kerana itu para penulis di negeri ini digesa mengkaji seterusnya merekodkan kearifan tempatan dengan cara penulisan mereka.
“Kumpulan cerpen ‘Gkalilang sa Pandasan’ juga amat menarik perhatian saya kerana ia mencatatkan gejolak politik, ekonomi, agama dan sosial di daerah ini, pun dengan cara yang kreatif dan jujur.  Kita perlu memberi perhatian dan sokongan yang lebih terhadap karya-karya sebegini.
“Saya sendiri akan terus memberi sokongan terhadap aktiviti penulisan PSBS demi memartabatkan kepelbagaian budaya kita melalui sastera, bahasa dan penulisan.
“Hal ini amat perlu, kerana dalam mempertahankan jati diri kita sebagai anak Sabah, pengorbanan perlu walau dalam bentuk apa pun,” tegasnya.
Sebagai rekod, program tersebut telah dihadiri oleh para pelajar Pra-U SMK Taun Gusi di bawah seliaan Dulamid Rudin, para penulis, pelukis, budayawan dan penggiat sastera dari Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Marudu, Kudat, Pitas dan Kota Belud sendiri.

SECARA BERHEMAH…Pandikar ketika menyampaikan ucapan merasmikan Majlis Pelancaran Buku dan Bicara Karya di Dewan R&R Kota Belud.
GAMBAR BERSAMA … Penulis dan peminat sastera mengambi kesempatan bergambar dengan Pandikar, Dr Norawi, Zaen Kasturi dan Mabulmaddin.