KANAK-KANAK MAUT DIPERCAYAI TERKENA TEMBAKAN

Oleh FARDY BUNGGA


KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terkena tembakan di kepala dipercayai oleh rakannya menggunakan senjata api buatan sendiri atau ‘ginsok’.
Dalam kejadian Sabtu lalu itu, mangsa dikatakan bermain bersama rakannya di pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abd Basir berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.35 petang.
Katanya, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius di kepala akibat tembakan senjata api.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berada di pondok berkenaan sebelum berlaku satu das tembakan.
“Mangsa yang parah kemudiannya dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Erwansyah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala yang disebabkan oleh tembakan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.
“Siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana senjata api itu diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga berlakunya insiden berkenaan.
“Pemeriksaan forensik dan balistik turut diberi perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa,” katanya.
Erwansyah berkata, pihaknya turut meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkin pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan sebarang tindakan undang-undang akan dibuat berdasarkan bukti serta peruntukkan undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Sehubungan itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya tidak memiliki senjata api tanpa kebenaran yang sah.
Manakala katanya, mereka yang mempunyai lesen pula hendaklah menyimpan senjata di tempat yang selamat dan berkunci.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” tegasnya.

Erwansyah Abd Basir