Nelayan maut akibat serangan buaya ketika merambat ikan

Oleh FARDY BUNGGA


SANDAKAN: Seorang lelaki yang hilang ditemui meninggal dunia selepas dipercayai dibaham buaya ketika merambat ikan di Sungai Taman Kenari, di sini, sejak semalam.
Mangsa, Obing Markum, 30-an, ditemui pada jam 2.14 petang kira-kira 1 kilometer daripada lokasi bot mangsa ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.40 petang,” katanya.
Menurutnya, operasi melibatkan lima anggota bomba serta kerjasama PDRM, APM, Jabatan Hidupan Liar, Pasukan Polis Marin dan orang awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti merambat ikan di kawasan berkenaan.
Penduduk kampung yang cuba mencari mangsa kemudiannya menemui bot mangsa di tepi sungai dengan kesan gigitan buaya.

DITEMUKAN …. Mangsa ditemui kira-kira 1 kilometer daripada lokasi kejadian.