Dalam projek gas cecair ZLNG di Sipitang
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah melalui SMJ Energy (SMJE) akan memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion yang sedang dibina di Sipitang.
Perkembangan ini susulan pemeteraian perjanjian utama (Head of Agreement, HoA) antara SMJE dan Petronas yang berlangsung di Malaysia Petroleum Club (MPC), di sini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyaksikan majlis berkenaan berkata, kerjasama strategik ini akan mengukuhkan pertumbuhan industri, keselamatan tenaga serta membuka peluang baharu untuk pembangunan negeri.
“Pelaburan seperti ZLNG akan memperkukuh daya tahan ekonomi Sabah dan memastikan hasil sumber asli negeri memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Projek ZLNG berkapasiti dua juta tan setahun (MTPA) itu kini dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2027. Ia melengkapkan kehadiran Sabah dalam industri LNG selain dua kemudahan terapung sedia ada, PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang beroperasi di perairan negeri ini.
Kerajaan Sabah turut mengumumkan hasrat untuk mengambil 40 peratus kepentingan dalam PFLNG1, dengan proses penelitian (due diligence) dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2025.
Sejak termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021, SMJ Energy berkembang pesat. Kini, syarikat itu memiliki 50% ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC, 10% dalam LNG9, 25% dalam kompleks petrokimia SAMUR, Pemilikan penuh Sabah International Petroleum (SIP).
SMJE turut mempunyai hak pegangan (free carry dan back-in rights) dalam blok eksplorasi SB409, SB403, SB306A dan SB306B.
Ketua Pegawai Eksekutif SMJE, Datuk Dr Dionysia Kibat berkata, penyertaan dalam ZLNG adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.
“Kami melabur secara berhemat dan menyasarkan aliran tunai jangka panjang yang stabil daripada aset berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, cita-cita Sabah dalam sektor hiliran turut berkembang, dengan Sabah Energy Corporation (SEC) memainkan peranan penting sebagai pengumpul dan pengedar gas domestik.
Antara projek utama SEC ialah pembekalan gas kepada kilang keluli hijau E-Steel bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), yang menyokong usaha Sabah ke arah kepelbagaian industri.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, dan Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan LNG (Gas dan Maritim), Shamsair Mohd Ibrahim.







