Gegar Takraw Merdeka Membakut bakal gegar Dewan Kesenian Islam Ogos ini

MEMBAKUT: Pertandingan Gegar Takraw Merdeka Membakut Piala DAA anjuran Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak-Anak Pimping di Kota Kinabalu (PAPIM) bakal berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Ogos ini di Dewan Kesenian Islam, Pekan Membakut.
Menurut Pengerusi Penganjur, Nor Isham Narawi, lokasi pertandingan terpaksa dipindahkan dari Dewan Seri Wawasan Kg Pimping selepas mendapati gelanggang asal tidak sesuai digunakan. Keputusan itu dicapai selepas perbincangan bersama wakil ASTAKA, Haji Razalie Chin.
“Selepas pemeriksaan di kedua-dua gelanggang, kami memutuskan untuk mengadakan pertandingan di Dewan Kesenian Islam yang lebih selesa dan lengkap,” katanya ketika mengetuai lawatan bersama AJK PAPIM baru-baru ini.
Kejohanan ini menjanjikan hadiah lumayan berjumlah RM4,000 termasuk Piala Rebutan Penaung, yang akan menjadi rebutan pasukan dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri Membakut.
Johan bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM500.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM120 bagi setiap pasukan, dan penyertaan hanya dibuka kepada pemain dari DUN Membakut. Setiap pasukan dibenarkan mendaftar seorang sahaja pemain bertaraf negeri dari mana-mana daerah.
Borang penyertaan boleh diperoleh daripada Pengerusi Pendaftaran, Puan Nur Nazerah Mohd Nizam (010-3994035), atau dengan menghubungi Pengerusi Biro Sukan, Ali Omar Salleh, Setiausaha, Ali Hussein Hj Matnor atau Bendahari Pertandingan, Ag Ghazali Ag Ghani.
Nor Isham berkata setakat ini, sambutan amat menggalakkan dengan lebih 20 pasukan telah menyatakan minat. PAPIM mungkin menghadkan jumlah penyertaan dan menyeru pasukan berminat segera mendaftar sebelum tarikh tutup pada 10 Ogos.
Selain aksi sengit di gelanggang, kejohanan ini turut menyediakan tapak gerai jualan untuk makanan dan produk tempatan. Hampir semua tapak telah ditempah dan hanya tinggal beberapa sahaja yang masih kosong. Maklumat lanjut turut boleh diperoleh melalui Puan Nazerah.
Antara yang hadir dalam lawatan tapak baru-baru ini termasuk Pengerusi PAPIM, Hj Ahmad Dipong, Naib Pengerusi Puan Nismah Hj Kanak, Setiausaha Agung, Ali Hussein Hj Matnor, serta AJK lain seperti Hajah Dayang Rayanih Hj Ag Hamid dan Ag Jaluddin Salleh. PAPIM juga dijangka menghantar satu pasukan pilihan yang terdiri daripada bekas pemain negeri.-Oleh HJ MOHD AMIN HJ MUIN.

LAWAT TAPAK…Nor Isham (lima kanan),wakil Astaka, Hj Razali (7 kanan berbaju hitam) dan AJK Tertinggi selepas memeriksa Dewan Seri Wawasan Kg Pimping. Turut kelihatan Pengurus Dewan, Sazali Hanafi Hj Latip (kanan sekali).