Lelaki miliki syabu dan bakakuk ditahan

KENINGAU: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki dadah dan senjata api buatan sendiri ‘bakakuk’ bersama peluru dalam operasi Op Tapis yang dilaksanakan di Kampung Toboh Baru, di sini, semalam.
Dalam operasi berkenaan, empat lagi termasuk seorang lelaki yang didapati memiliki dadah jenis syabu turut ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai berkata, semua suspek ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya, manakala seorang lagi suspek yang memiliki senjata dan peluru disiasat mengikut Akta Senjata Api 1960.
“Suspek didapati memiliki dadah jenis syabu seberat 1.50 gram, tujuh butir peluru hidup serta satu laras senapang buatan sendiri jenis ‘bakakuk’.
“Manakala seorang lagi suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki syabu seberat 0.19 gram,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu Yampil berkata, tiga lagi lelaki ditahan selepas didapati positif dadah, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka.
Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis akan terus menjalankan operasi secara agresif bagi membanteras jenayah, khususnya penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“PDRM Keningau komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara,” katanya.-FB.

DITAHAN …. Suspek ditahan selepas didapati memiliki syabu, bakakuk dan tujuh peluru.