Sabah jadi peneraju negara

Dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, ketahanan iklim

Oleh JOHN TAMBANAN


SEMPORNA: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kelulusan Enakmen Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini membuktikan Sabah kini menjadi peneraju negara dalam tindakan pemuliharaan alam sekitar dan ketahanan terhadap perubahan iklim.
Beliau berkata, pelaksanaan enakmen ini akan memastikan penglibatan komuniti serta melindungi hak mereka melalui mekanisme Keizinan Termaklum Awal yang lebih inklusif dan telus.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan semasa sambutan Hari Biodiversiti Sedunia di Dewan Arena Belia, di sini.
“Kerajaan Negeri komited melindungi dan memulihara sumber asli, biodiversiti dan ekosistem negeri ini. Tema sambutan tahun ini, ‘Harmoni dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Lestari’, menekankan keseimbangan penting antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa semua pihak, khususnya rakyat Sabah, tidak seharusnya leka dalam merancang pembangunan tanpa mengambil kira kelestarian biodiversiti serta kesejahteraan flora, fauna dan ekosistem yang menyokong kehidupan manusia.
“Melindungi alam semula jadi bukan sahaja memastikan biodiversiti terus wujud, malah menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial kepada generasi kini dan akan datang,” tambahnya. Konsep ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Strategi Biodiversiti Sabah 2024–2034.
Hajiji turut menyatakan Sabah sebagai negeri pertama yang giat melaksanakan konsep Ekonomi Biru di bawah agenda Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk meneroka potensi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) di perairan Tawau sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
Antara inisiatif lain ialah Projek Pemetaan Rumput Laut di seluruh Sabah yang kini giat dijalankan oleh Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebagai langkah memperkukuh pengurusan sumber marin.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aktiviti pelancongan di kawasan seperti Semporna akan dipantau agar tidak menjejaskan biodiversiti marin, namun tetap memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat dan negeri.
Akhir sekali, Hajiji menyeru agar semua pihak – kerajaan, swasta, NGO, komuniti dan rakyat – bekerjasama dalam melindungi kekayaan semula jadi Sabah.
Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan kelestarian hijau untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan alam sekitar terjamin pada masa depan.

CENDERAHATI …. Nizam menerima cenderahati selepas menyampaikan sijil penyertaan kepada Jabatan Hidupan Liar.