Pendaki cedera diusung turun

Oleh FARDY BUNGGA


RANAU: Seorang pendaki warga England terpaksa diusung turun oleh Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh, kelmarin.
Remaja perempuan berusia 15 tahun itu dikatakan cedera di lutut kiri selepas dipercayai tergelincir ketika menuruni Gunung Kinabalu.
Mangsa dibawa turun dari Kilometer 6.6 hingga ke Timpohon Gate sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota PBB MOSAR bersama anggota Taman-Taman Sabah serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi terus memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Mangsa seberat 70 kilogram terbabit dilaporkan terjatuh sehingga mengakibatkan kecederaan di lutut kiri dan tidak dapat meneruskan pendakian,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah Robinson Stretcher.
“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans APM untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah hari,” katanya.

USUNG TURUN …. Mangsa seberat 70 kilogram dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah Robinson Stretcher.