Oleh FARDY BUNGGA
KOTA BELUD: Sepasang suami isteri rentung selepas terperangkap di dalam rumah yang terbakar di Kampung Sangkir, di sini, awal pagi kelmarin.
Kedua-dua mangsa yang berusia 47 tahun ditemui meninggal dunia di dalam bilik mandi rumah berkenaan selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.52 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, kejadian melibatkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat terbakar sepenuhnya.
“Sebuah kereta Proton Saga milik pasangan berkenaan turut musnah terbakar dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air dari jentera.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi dan pasukan operasi berjaya menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan rentung di bilik mandi rumah berkenaan.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.55 pagi,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik JBPM.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan jenazah kedua-dua pasangan suami isteri terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.







