Lima tertuduh tidak mengaku salah

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Lima pelajar sekolah yang dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, berhubung kes buli Zara Qairina Mahathir mengaku tidak bersalah.
Semua remaja terbabit membuat pengakuan berkenaan atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, semua tertuduh dibenar ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit.
“Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang penjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, kelmarin.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina di sebuah sekolah di Papar pada jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai 2025.

Nor Azizah Mohamad …. Timbalan Pendakwa Raya.