Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Parti Gemilang Anak Sabah (GAS) akan mengetengahkan lebih ramai calon dari kalangan wanita, belia dan beliawanis pada pilihan raya negeri (PRN17) yang akan diadakan tahun ini.
Presiden GAS, Dato’ Jismith Japong berkata, parti itu memutuskan untuk bertanding sebanyak 55 kerusi dan daripada jumlah itu, 60 peratus terdiri daripada kalangan belia dan beliawanis.
“Ini bagi memastikan parti itu mempunyai pemimpin pelapis pada masa akan datang, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas GAS, di Hotel Ria, Sembulan dekat sini pada Jumaat.
Jismit berkata, GAS akan bertanding di kawasan yang diyakini dapat menyumbang kepada kemenangan parti. GAS tidak meletak calon di kawasan yang difikir tidak menyumbang kemenangan contohnya di Senallang.
“Antara kawasan yang bakal ditandingi GAS ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias di mana saya sendiri akan bertanding kerana saya anak jati Klias, dan DUN Apas yang bakal ditandingi timbalan presiden GAS,” katanya.
Beliau berkata, GAS akan bertanding secara solo dan tidak akan mengadakan kerjasama dengan parti-parti sedia ada terutama parti daripada luar negeri Sabah.
Jismit melahirkan keyakinan GAS akan mendapat penerimaan dan sokongan rakyat Sabah kerana parti itu mempunyai dasar baharu yang boleh membawa kerajaan negeri ke arah yang lebih cemerlang.
“Dasar baharu ini kita akan utarakan dalam Manifesto GAS selepas DUN Sabah dibubar nanti dan calon parti akan dikenal pasti dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, antara dasar baharu itu, GAS akan memberikan pendidikan percuma kepada murid serta pelajar-pelajar di Sabah dengan memastikan peruntukan diberikan kepada sekolah-sokolah agar ibu bapa tidak lagi perlu membayar yuran persekolahan serta yang berkaitan.
“Dasar baharu ini selaras dengan cogan kata ‘ke arah perubahan kepimpinan negeri’, dan perkataan `Gemilang’ untuk gemilangkan rakyat dan negeri Sabah.
“Sekiranya GAS diberikan mandat oleh rakyat, dan saya akan menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri, saya akan memperkenalkan dasar baharu ini untuk memperjuangkan hak rakyat dan dan negeri ini,” katanya.







