950 graduan terima ijazah dan diploma

Istiadat Konvokesyen NBUC dan GCK kali ke-5

KOTA KINABALU: Seramai 950 graduan daripada pelbagai bidang pengajian melakar sejarah peribadi apabila menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen North Borneo University College (NBUC) dan Kolej Geomatika Keningau (GCK) kali ke-5 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, Khamis.
Majlis penuh gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Canselor NBUC, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M Jasni.
Turut hadir, Presiden NBUC, Prof Datuk Sr. Dr. Mohaizi Muhamad; Naib Canselor NBUC, Prof Dato Sr. Azimuddin Bahari; Naib Presiden NBUC, Prof Madya Doretty R. Jiroh; Rektor GCK, Prof Madya Nur Azsyerrah Jahini; ahli lembaga pengelola universiti; ahli senat; pegawai kanan; ibu bapa serta para graduan yang diraikan.
Dalam ucapannya, Canselor menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan pesat NBUC yang kini bukan sahaja menawarkan pendidikan konvensional, malah turut memperkenalkan pendekatan global dan fleksibel merangkumi Open Distance Learning (ODL), Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta pelbagai kaedah lain.
“Hari ini adalah kemuncak kepada perjalanan penuh cabaran, pengorbanan dan usaha gigih.
“Para graduan telah membuktikan bahawa keazaman, disiplin serta doa berterusan mampu mengubah impian menjadi kenyataan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan dan pengorbanan mereka.
Sementara itu, Presiden NBUC, Prof Datuk Sr. Dr. Mohaizi Mohamad berkata, pencapaian NBUC tahun ini amat membanggakan apabila disenarai pendek oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dinaik taraf sebagai universiti penuh.
Beliau turut berkongsi kejayaan NBUC yang tersenarai dalam Times World Impact Ranking Top 800, sekali gus meletakkan institusi itu pada landasan antarabangsa.
“Fokus utama NBUC adalah memastikan lebih ramai anak Sabah berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berkualiti agar mampu memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Menurut beliau, NBUC juga komited memperkukuh agenda TVET Sabah sebagai sokongan kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya, dengan menekankan kerjasama strategik melibatkan kerajaan, IPTA, IPTS dan badan bukan kerajaan.
Seiring dengan keperluan industri, NBUC turut memperkenalkan program baharu termasuk Diploma in Aircraft Maintenance Technology, selain bidang berimpak tinggi seperti pertanian pintar, agropelancongan, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, marin, perkapalan, logistik serta minyak dan gas.
Dalam majlis itu, beberapa graduan cemerlang turut menerima pengiktirafan khas.
Dayang Nornadia binti Ahmad, graduan Bacelor Pengurusan Penguatkuasaan Keselamatan (Kepujian), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden sekaligus pelajar terbaik keseluruhan.
Selain itu, Jocyellyn Donnious menerima Anugerah Naib Canselor, Nur Arifahtul Azmah Sahirin menerima Anugerah Rektor, manakala Eva Elvianny Marcellus dianugerahkan Anugerah BTEC dan Nursyahada Zulnan menerima Anugerah GTEC.

CATAT PENCAPAIAN…Barisan Lembaga Pengelola Universiti bergambar dengan Cancelor NBUC Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M Jasni.