KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertekad untuk mempelopori inisiatif menaik taraf Pekan Taginambur di Kadamaian sebagai daerah kecil sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bakal calon KDM Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Josely Taising, berkata pekan Taginambur mempunyai potensi besar untuk dicadangkan sebagai lokasi pusat pentadbiran bagi pejabat daerah kecil Kadamaian.
“Pekan Taginambur bukan sahaja strategik dari segi lokasi iaitu hanya 16 kilometer dari pekan Kota Belud, tetapi juga memenuhi beberapa kriteria penting seperti pertambahan populasi, perkembangan pesat sektor ekonomi khususnya eko-pelancongan dan peningkatan keperluan kemudahan infrastruktur serta perkhidmatan awam.
“Jika daerah Tuaran boleh mempunyai dua daerah kecil iaitu Tamparuli (9 km dari Tuaran) dan Kiulu (20 km dari Tuaran), maka tiada sebab Kadamaian tidak boleh dipertimbangkan untuk dinaik taraf.
“Kadamaian wajar diberi pengiktirafan yang sama demi kemajuan masyarakatnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut Josely, usaha menjadikan Kadamaian sebagai daerah kecil akan memberi pelbagai manfaat kebajikan dan pembangunan kepada penduduk selain dapat mewujudkan pembangunan ekonomi setempat.
Katanya, dari segi peningkatan kesejahteraan sosial dan kebajikan, ia dapat memberikan akses lebih cepat kepada bantuan kebajikan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial, memperkasakan komuniti luar bandar agar tidak ketinggalan dari arus pembangunan negeri.
“Penubuhan daerah kecil jugak akan memudahkan penyelarasan pasukan keselamatan dan pengurusan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh serta meningkatkan kesiapsiagaan kecemasan dengan adanya pusat pentadbiran dan logistik lebih dekat,” katanya.
Josely menegaskan bahawa cadangan ini adalah sebahagian daripada agenda pembaharuan KDM untuk memastikan Kadamaian bukan sahaja dikenali sebagai kawasan eko-pelancongan yang indah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang progresif, sejahtera dan mampan.
“KDM komited membawa suara rakyat Kadamaian agar mendapat hak pembangunan yang adil. Dengan status daerah kecil, Kadamaian akan lebih terjamin dari segi kebajikan, ekonomi dan masa depan generasi mudanya,” jelas beliau.-JT.






