Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Parti Gemilang Anak Sabah (GAS) akan mengumumkan senarai calon serta 10 manifesto pada majlis pelancaran rasmi parti itu di Beaufort pada 21 September ini.
Presiden GAS, Dato’ Jismit Japong, berkata parti itu komited bertanding di 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tidak menolak kemungkinan meletakkan calon di semua 73 kerusi sekiranya mendapat sokongan padu penyokong.
Menurutnya, majlis pelancaran rasmi itu dijangka menghimpunkan lebih 500 orang dan akan diserikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik termasuk Bisaya, Brunei dan Murut. “Untuk kawasan Pantai Barat pula, lokasi dan tarikh pelancaran akan ditentukan kemudian,” katanya pada sidang media di Hotel Ria, Sembulan.
Jismit berkata GAS sudah melantik ketua bahagian dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya sebaik sahaja DUN dibubarkan.
Katanya, proses pemilihan calon dijalankan secara teliti melalui sistem tender dengan setakat ini sebanyak 286 resume diterima daripada individu yang berminat.
“Antara kriteria utama ialah latar belakang pendidikan yang baik, rekod bersih tanpa kes jenayah serta mempunyai pelan pembangunan lima tahun untuk kawasan masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan landskap politik Sabah ketika ini bercelaru dengan pelbagai kerjasama parti sehingga menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan rakyat. Beliau menegaskan GAS hadir sebagai alternatif baharu yang mahu mengubah cara pentadbiran negeri.
“Jika diberi mandat, kami akan memastikan Sabah ditadbir secara bebas dengan autonomi lebih besar selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). GAS juga akan menuntut semula 40 peratus hasil bersih negeri menerusi pendekatan kerajaan-ke-kerajaan,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat menyokong parti tempatan dan bukan ‘parti luar serta proksi mereka’ yang disifatkan gagal membela kepentingan negeri. “Sabah kaya dengan sumber asli, tetapi kekayaan itu banyak tergadai kepada orang luar, bukannya dinikmati rakyat sendiri,” katanya.
Jismit berkata antara agenda utama GAS ialah memperjuangkan pengurusan hospital awam dikendalikan kerajaan negeri, kerana ketika ini ia berada di bawah kuasa kerajaan pusat.
“Kami beri jaminan perkara itu akan dilaksanakan sekiranya GAS diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRN17,” tegasnya.





