Oleh JAMES LEONG
LAHAD DATU: Sebuah bot nelayan tempatan telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu semalam kerana beroperasi terlalu dekat dengan kawasan pantai.
Penahanan dilakukan sekitar jam 11.50 pagi di perairan 0.6 batu nautika timur Madai, Kunak ketika operasi Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
Menurut Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong berusia 38 tahun bersama tiga kru, kesemuanya warga tempatan berusia antara 29 hingga 41 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, iaitu menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari pantai terdekat.
Dzulfikhar menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang melanggar syarat lesen, khususnya mereka yang beroperasi di kawasan larangan.
Beliau berkata peraturan jarak itu ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal lestari.
Bot nelayan bersama kru dan hasil tangkapan telah dibawa ke jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.







