Nilai inisiatif ekonomi dan projek infrastruktur baharu
Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Komitmen kerajaan Madani dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan serta mempertingkat kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah Timur dizahirkan menerusi lawatan kerja dua hari oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, yang bermula di sini pada Ahad.
Lawatan beliau meliputi Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sri Kinabatangan dan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Sandakan.
Di kedua-dua lokasi, beliau menerima taklimat serta meninjau pelaksanaan projek di bawah Program Ekonomi Madani, yang memberi pulangan ekonomi kepada warga tentera dan keluarga mereka.
Antara projek yang dilawati ialah Taman Madu Kelulut Meliponini di Batalion Ke-22 RAMD, yang mengusahakan spesies lebah kelulut Heterotrigona itama.
Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Boustead Plantations Berhad (BPlant) selaku pembeli utama, Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) 22 RAMD, dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Di MAWILLA 2 pula, Mohamed Khaled meninjau Projek Hidroponik Pintar Karbon Sifar bernilai RM120,000, melibatkan 16 ahli Bakat Laut.
Projek ini dilaksanakan melalui Program Pemindahan Ilmu (KTP) bersama UMS Cawangan Sandakan, bertujuan menyokong kelestarian alam sekitar serta menjana pendapatan tambahan untuk keluarga anggota TLDM.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan daripada Yayasan LTAT bagi meringankan beban keluarga anggota yang berdepan masalah kesihatan.
Sumbangan diserahkan kepada dua isteri dan dua anak anggota 22 RAMD yang menghidap penyakit kronik, seorang anggota TLDM, isteri kepada anggota TLDM yang sakit kronik, serta empat anak anggota TLDM berkeperluan khas.
Pada hari kedua lawatan, tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur keselamatan apabila beliau meninjau projek pembinaan jeti baharu MAWILLA 2.
Jeti sepanjang 300 meter dengan kos RM122 juta itu dijangka siap pada pertengahan tahun 2026.
Kemudahan ini akan menampung penempatan aset utama TLDM, memperkemas pengurusan logistik, serta memperkukuh keupayaan rondaan maritim dan tindak balas pantas terhadap ancaman keselamatan di perairan Sabah Timur.
Sepanjang lawatan, Menteri Pertahanan diiringi oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dato’ Abdul Hadi Omar, serta pegawai kanan dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Lawatan kerja ini mengukuhkan lagi komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan warga pertahanan dan keluarga mereka terus terpelihara, seiring usaha menegakkan kedaulatan negara.








