Liew janji semua suara rakyat akan didengari
TAWAU: “Tiada siapa akan ditinggalkan.” Itulah janji penuh makna disampaikan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, dalam satu majlis mesra bersama masyarakat Cina di Gudang 4, Tawau, di sini semalam.
Liew menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited memastikan setiap rakyat Sabah mendapat perhatian dan peluang sama rata dalam arus pembangunan negeri.
“Kita tidak mahu sesiapa dipinggirkan, tidak kira kaum atau latar belakang. Semua berhak menikmati pembangunan dan kemajuan negeri ini,” tegasnya disambut sorakan hadirin.
Menurut beliau, kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, serius mahu melihat kemajuan berlaku seiring di bandar, pinggir bandar mahupun kampung — tanpa ada sesiapa yang tertinggal di belakang.
“Sabah Maju Jaya bukan hanya slogan, tetapi satu gerakan untuk memastikan setiap komuniti, setiap suara, dan setiap rakyat mendapat tempat dalam pembangunan negeri,” katanya penuh semangat.
Majlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti itu berlangsung dalam suasana meriah, mencerminkan semangat perpaduan dan sokongan padu rakyat terhadap agenda pembangunan GRS.
Liew turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Lim Yin Kat serta masyarakat Gudang 4 yang menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran program tersebut.
“Kekuatan kita ialah perpaduan. Bila rakyat bersatu hati, tiada halangan yang tidak mampu kita atasi,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada ratusan hadirin yang membanjiri dewan.
Suasana malam itu menjadi simbol kebangkitan semangat baharu rakyat Tawau untuk terus bersama kepimpinan negeri demi memastikan Sabah terus melangkah maju di bawah panji Sabah Maju Jaya (SMJ).-JT

            
		






