Parti KDM tampil 40 calon tanding PRU17 Sabah

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menampilkan seramai 40 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17).
Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, berkata pengumuman rasmi membabitkan 39 calon dibuat pada Majlis Pengumuman Calon Parti KDM, manakala satu lagi calon bagi kerusi DUN Kemabong akan diumumkan esok (hari ini).
Antara calon muka baharu yang diketengahkan ialah Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, 27 tahun, yang akan bertanding di kerusi DUN Melalap.
Wetrom yang akan mempertahankan kerusi DUN Matunggong berkata, sebanyak 70 peratus calon KDM terdiri daripada muka baharu, termasuk 30 peratus calon muda.
“Calon-calon yang diketengahkan datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk profesional, ahli akademik dan ahli perniagaan. Mereka dipilih berdasarkan cadangan serta sokongan rakyat di kawasan masing-masing.
“Harapan kami agar rakyat memberikan peluang kepada calon-calon KDM yang membawa hasrat untuk melakukan pembaharuan dan memastikan masa depan Sabah yang lebih baik serta rakyat yang bersatu padu,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan, di sini, kelmarin.
Wetrom menegaskan KDM tidak menetapkan sasaran berlebihan, namun yakin dengan perjuangan parti serta kesungguhan untuk berbakti kepada seluruh rakyat Sabah.
Beliau turut menjelaskan, KDM bukan parti yang tertumpu kepada satu kaum semata-mata, sebaliknya menitikberatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
“Struktur kepimpinan parti mencerminkan kepelbagaian itu, apabila di bawah Presiden terdapat tiga Timbalan Presiden mewakili masyarakat Kadazan Dusun, Bumiputera Islam dan Cina. Saya yakin masyarakat Cina turut memberi sokongan kepada KDM,” katanya.

WATIKAH … Wetrom menyerahkan watikah calon kepada Priscella pada Majlis Pengumuman Calon Parti KDM, kelmarin.