BN janji tubuh Kementerian Wanita Sabah: ‘Game-Changer’ masa depan wanita – Suhaimi

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) berjanji menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menyifatkan penubuhan kementerian itu sebagai game-changer yang akan memastikan wanita Sabah menerima peluang, perlindungan dan pengiktirafan sewajarnya.
Pada hari ke-12 kempen, Suhaimi yang juga calon BN N52 Sungai Sibuga berkata kementerian tersebut bakal menjadi peneraju dasar pembangunan sosial negeri, dengan fokus terhadap kesejahteraan wanita, kanak-kanak dan keluarga.
“Wanita adalah tunjang keluarga dan masyarakat. Pengiktirafan terhadap sumbangan mereka adalah kunci kepada pembangunan negeri yang inklusif dan berdaya saing,” katanya.
BN turut menawarkan insentif i-Suri berjumlah RM600 kepada suri rumah, balu dan ibu tunggal, selain Program Latihan dan Pembangunan Kemahiran untuk membantu wanita menguasai keusahawanan, teknologi dan kerjaya moden.
Sokongan terhadap keselamatan serta hak wanita juga akan dipertingkatkan bagi memastikan mereka dapat menyumbang secara selamat dan efektif dalam masyarakat.
“Penubuhan kementerian ini adalah revolusi nyata untuk wanita Sabah. Ia bukan sekadar janji pilihan raya tetapi langkah strategik yang mampu mengubah lanskap sosial dan ekonomi negeri,” tegas Suhaimi.
Beliau yakin inisiatif tersebut mampu membawa transformasi sosial yang signifikan, meningkatkan taraf hidup wanita dan mewujudkan masyarakat Sabah yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.-JT

BERSEMANGAT …. Suhaimi (berdiri tengah) bersama wanita BN Sungai Sibuga.