Tegas bangunkan Pitas melalui sektor strategik
PITAS: Calon Warisan bagi DUN N.3 Pitas, Datuk Harun Ismail, menegaskan komitmennya untuk memacu pembangunan daerah itu melalui sektor-sektor berpotensi tinggi seperti perindustrian, pertanian dan penternakan yang diyakininya mampu menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau menyampaikan hasrat, visi dan misinya itu dalam Program Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Batu 2, Bongkol, yang berlangsung dalam suasana santai namun penuh makna.
Program berkenaan menjadi platform penting bagi Datuk Harun mendekati rakyat sambil berkongsi pelan pembangunan komprehensif demi kesejahteraan komuniti setempat.
Menurut beliau, Pitas memiliki potensi besar dalam sektor pertanian dan penternakan yang belum diterokai sepenuhnya. Justeru, beliau bertekad memperkasa usahawan tempatan, memperluas peluang pekerjaan dan membangunkan industri asas tani serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kita mahu melihat Pitas bukan sahaja sebagai daerah luar bandar, tetapi sebagai pusat pertumbuhan baharu yang mampu menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan pertambahan sokongan terhadap kepimpinan Parti Warisan apabila semakin ramai ahli UMNO dan GRS menyatakan sokongan serta menyertai perjuangan Warisan di kawasan N.3.
Penyertaan baharu itu disifatkan sebagai suntikan semangat yang mengukuhkan lagi gerakan politik Warisan di Pitas, selaras aspirasi untuk membawa perubahan yang lebih telus, progresif dan berorientasikan rakyat.
“Ingat N3, Ingat No. 3 Harun Ismail,” laungnya dengan penuh semangat, disambut sorakan dan tepukan gemuruh masyarakat yang hadir.
Harun berdepan saingan enam penjuru di Pitas, termasuk Datuk Ruddy Awah (GRS), Datuk Bolkiah Ismail (BN), Abd Hamid Kimin (KDM), Kinchin Bolout (PIS) dan Nazri Santong (Bebas). Seramai 17,574 pengundi berdaftar di DUN N.3 Pitas.






